Ruwaida Md Zain


Klang: Seorang bekas banduan yang mempunyai 55 rekod jenayah masih tidak insaf apabila masih aktif melakukan jenayah pecah kedai, kilang, samun dan curi kenderaan sejak tiga bulan lalu.

Suspek yang juga lelaki tempatan berusia 40-an diberkas bersama empat lagi individu yang dilatih untuk melakukan kegiatan jenayah di sekitar daerah ini dan Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, suspek yang juga 'dalang utama' kumpulan itu dibebaskan dari penjara pada Januari lalu sebelum kembali aktif melakukan jenayah.

"Tangkapan terhadap kesemua suspek dibuat susulan laporan polis dibuat seorang pemilik kedai barangan pertukangan pada 26 Mac lalu.

"Menurut mangsa, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati premis miliknya di Jalan Kota Raja Kampung Jawa di sini, dipecah masuk suspek.

"Rakaman CCTV itu memaparkan empat lelaki memasuki premis melalui pintu sisi kedai dan mengambil pelbagai barangan antara jam 4 hingga jam 4.30 pagi. Jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM20,000," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, di sini, tadi.

Susulan itu sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang Selatan melakukan serbuan di beberapa rumah di kawasan Jalan Kapar, Taman Sentosa dan Taman Selatan, di sini, 30 Mac lalu.

"Hasil serbuan itu, polis menangkap lima lelaki tempatan lingkungan umur 37 hingga 44 tahun. Kesemua suspek mempunyai sekurang-kurangnya 11 rekod lampau jenayah dan dadah termasuk suspek yang memiliki 55 rekod lampau.

ASISTEN Komisioner Cha Hoong Fong (dua dari kanan) menunjukkan rampasan peralatan barang kedai hardware pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan. FOTO Faiz Anuar
ASISTEN Komisioner Cha Hoong Fong (dua dari kanan) menunjukkan rampasan peralatan barang kedai hardware pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan. FOTO Faiz Anuar

"Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas tiga kereta iaitu Proton Waja, Wira serta Perodua Axia dan 52 barangan dicuri dari kedai itu.

"Hasil semakan nombor casis dan enjin kereta dirampas mendapati kereta Proton Waja dan Wira adalah kereta dicuri.

"Polis yakin berjaya menyelesaikan sejumlah 14 kes iaitu sembilan kes di daerah Klang Selatan, empat kes di Klang Utara dan satu kes di Shah Alam. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 3:53 PM