Norzamira Che Noh

Klang: Mahkamah Majistret di sini, hari ini mengarahkan bekas pengurus bank untuk menjalani pemeriksaan mental sebelum didakwa atas tuduhan menipu pelaburan menggunakan wang simpanan pelanggan tanpa pengetahuan.

Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam Dennis Micheal Pereira yang meminta anak guamnya yang berusia 59 tahun dirujuk di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak.

Dalam permohonannya, Dennis memaklumkan tertuduh kini dalam tempoh cuti sakit bermula 12 hingga 19 Oktober, yang dikeluarkan Jabatan Psikiatri, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

"Permohonan dilakukan mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah. Berikutan itu, tidak boleh sebarang pengakuan direkodkan dan perlu mendapat pengesahan daripada hospital psikiatri terlebih dahulu," katanya.

TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Majistret Klang, hari ini. FOTO Faiz Anuar.
TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Majistret Klang, hari ini. FOTO Faiz Anuar.

Timbalan Pendakwa Raya Nur'ain Madihah Zulkifli tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap permohonan berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Disember depan untuk pendakwaan semula selepas mendapat penilaian daripada hospital.

Media semalam melaporkan, tertuduh akan didakwa dengan empat pertuduhan yang membabitkan kerugian berjumlah RM164,000.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, suspek ditahan pada 1.30 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Ia berhubung laporan diterima polis pada 14 Januari lalu daripada wanita yang juga pengurus kedai emas berusia 60 tahun, mendakwa terdapat pengeluaran wang daripada akaun simpanannya tanpa kebenarannya berjumlah RM850,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 2:08 PM