FOTO hiasan
FOTO hiasan
Norzamira Che Noh


Klang: Polis menafikan sekeras-kerasnya dakwaan akaun Facebook yang mendakwa premis berunsurkan perjudian sudah mula beroperasi secara berleluasa di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan selepas pertukaran Ketua Polis Daerah (KPD) baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kenyataan itu dikesan pihaknya di akaun Facebook bernama Aemierulrizaki Rambli, semalam.

"Kenyataan yang dimuat naik pemilik akaun Aemierulrizaki Rambli adalah satu tohmahan yang tidak berasas dan boleh menjejaskan imej IPD Klang Selatan khususnya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) amnya.

"Polis sentiasa mengambil tindakan berterusan dalam usaha membanteras aktiviti perjudian dan pelacuran di daerah Klang Selatan dan menyangkal kenyataan dikeluarkan," katanya pada sidang media di IPD Klang Selatan, hari ini.

Beliau berkata, IPD Klang Selatan adalah antara IPD yang mempunyai tangkapan dan pertuduhan tertinggi bagi kes perjudian serta pelacuran.

Katanya, sejak 1 Januari sehingga 23 November lalu, sebanyak 528 kes tangkapan perjudian dilakukan dan daripada jumlah itu sebanyak 512 kes tangkapan sudah dituduh di mahkamah.

"Manakala bagi aktiviti pelacuran sebanyak 49 kes tangkapan pelacuran berjaya dilakukan dan daripada jumlah itu sebanyak 46 kes dituduh di mahkamah.

"Bagi tempoh seminggu bermula 18 November hingga semalam, sebanyak 11 serbuan bagi aktiviti perjudian dan manakala satu serbuan pelacuran berjaya dilaksanakan," katanya.

Hoong Fong berkata, pemilik akaun berkenaan sudah dikesan dan pihak polis meminta individu berkenaan tampil untuk memberi kenyataan mengenai dakwaan dikeluarkannya.

"Jika individu berkenaan mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti perjudian serta pelacuran di kawasan Klang Selatan, sila kongsikan maklumat itu untuk tindakan lanjut pihak polis," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Hoong Fong memaklumkan permohonan sambung reman terhadap lima lelaki tempatan yang disyaki terbabit membakar kereta milik seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sebuah pusat mencuci kenderaan dekat Taman Pandamaran Permai, dekat sini 18 November lalu, ditolak.

"Bagaimanapun, salah seorang suspek dikenal pasti terbabit dengan satu kes di IPD Klang Utara justeru kami sudah serahkan suspek bagi siasatan lanjut.

"Manakala suspek-suspek lain diberi jaminan polis sehingga kita rujuk kes ini kepada Timbalan Pendakwa Raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 4:34 PM