Cha Hoong Fong (kiri) menunjukkan barang kes melibatkan curi kenderaan motosikal, kereta serta pecah rumah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan. FOTO Faiz Anuar
Cha Hoong Fong (kiri) menunjukkan barang kes melibatkan curi kenderaan motosikal, kereta serta pecah rumah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain


Klang: Sebanyak 12 kes curi kenderaan dan pecah rumah di daerah Klang Selatan berjaya diselesaikan susulan penahanan 13 lelaki termasuk seorang warga asing menerusi Ops Lejang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejayaan tangkapan dalam tempoh tiga minggu operasi bermula 1 Julai itu membabitkan semua elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

"Pasukan Op Lejang Khas berjaya menangkap 13 lelaki membabitkan 12 warga tempatan dan seorang warga asing berumur lingkungan 22 hingga 43 tahun.

"Semakan mendapati, semua suspek mempunyai dua hingga tiga rekod lampau atas pelbagai jenayah seperti mendatangkan kecederaan, curi, curi kenderaan, pecah rumah dan dadah.

"Pasukan Operasi turut merampas enam motosikal, tiga kereta, sebuah pacuan empat roda, satu rangka motosikal, empat enjin motosikal termasuk peralatan untuk mengubahsuai nombor casis dan enjin kenderaan. Nilai rampasan dianggarkan bernilai RM200,000," katanya dalam sidang media di IPD Klang Selatan, di sini, tadi.

Hoong Fong berkata, hasil kejayaan tangkapan dan rampasan itu, polis berjaya menyelesaikan 12 kes iaitu tujuh curi motosikal, empat curi kereta dan pacuan empat roda, satu kes pecah kedai.

"Kes berkenaan membabitkan sembilan kes berlaku di daerah Klang Selatan, dua kes di Shah Alam dan satu kes Klang Utara.

"Kes-kes ini disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan bagi curi kenderaan bermotor dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan bagi kesalahan pecah rumah," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati kesemua suspek yang ditahan itu membabitkan beberapa kumpulan sindiket yang berbeza.

"Setakat ini, tujuh suspek dituduh di Mahkamah Klang mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan, Seksyen 29 ( 1 ) Akta Kesalahan Kecil 1955.

"Manakala suspek warga negara asing dituduh mengikut Seksyen 6 ( 1 ) ( c ) Akta Imigresen 1963 kerana tidak mempunyai pas untuk memasuki negara Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 3:01 PM