PASUKAN Esscom giat menjalankan rondaan di sekitar daratan pantai timur Sabah.
PASUKAN Esscom giat menjalankan rondaan di sekitar daratan pantai timur Sabah.
Juwan Riduan


Lahad Datu: Meskipun bulan Ramadan, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) akan tetap melaksanakan penugasan menjaga keselamatan perairan dan daratan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Komander ESSCOM Datuk Hamzah Ahmad berkata, pihaknya sentiasa bersiap siaga pada setiap masa bagi mengelak sebarang kemasukan anasir yang tidak diingini.

Katanya, kawasan pesisir pantai timur Sabah sentiasa terdedah dengan ancaman keselamatan khususnya jenayah rentas sempadan.

"Semua pasukan yang terlibat iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa berada di lokasi penugasan.

"Kesiapsiagaan pasukan keselamatan diperkukuh menerusi rondaan 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu sepanjang bulan Ramadan ini," katanya ketika melakukan rondaan di perairan Tambisan dan Tanjung Labian, di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, lebih 11 bot kecil dan kapal besar yang digunakan pasukan Esscom di perairan pantai timur Sabah sentiasa bersedia sebarang kemungkinan berlaku.

Hamzah berkata, Esscom merancang untuk mempergiatkan lagi usaha penugasan bagi mengekalkan keamanan dan ketenteraman khususnya penduduk di kawasan pantai timur Sabah.

"Dalam tempoh terdekat ini juga, momentum kedatangan pelancong dan pelabur asing agak memberangsangkan di pantai timur Sabah sejak sempadan negara dibuka.

"Justeru, kita harapkan dengan penugasan yang lebih mantap akan memberikan keyakinan kepada semua pelancong dan pelabur yang datang," katanya.

Esscom yang ditubuhkan pada 1 April 2013 lalu, kini genap berusia 10 tahun dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di Esszone.

Esszone merangkumi daerah di pantai timur Sabah termasuk Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran yang terletak berhampiran sempadan antarabangsa.

Untuk rekod, Esscom banyak merekodkan pencapaian dan kejayaan memberangsangkan dalam misi mengekalkan keamanan dan ketenteraman awam di kawasan pantai timur Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 3:16 PM