GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Perintah berkurung di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang dilanjutkan sehingga 25 Mei ini seperti diumumkan baru-baru ini hanya dikuatkuasakan di kawasan perairan tiga batu nautika ke sempadan perairan antarabangsa di tujuh daerah pantai timur Sabah.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, perintah berkurung itu hanya dilaksanakan di Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau bukannya 10 daerah termasuk di kawasan utara Sabah.

Menurutnya, ramai keliru apabila peta infografik lama perintah berkurung di ESSZONE ditularkan di media sosial sejak beberapa hari lalu yang turut merangkumi daerah di bahagian utara iaitu Pitas, Kudat dan Kota Marudu.

"Kekeliruan yang timbul dalam kalangan masyarakat berhubung perintah berkurung itu disebabkan gambar infografik yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Infografik berkenaan yang tular selepas itu memberi gambaran bahawa semua 10 daerah di kawasan ESSZONE perlu menuruti perintah berkurung dan dikehendaki berada di rumah bermula 6 petang hingga 6 pagi.

"Namun, kawasan yang terbabit dalam perintah berkurung bermula 6 petang hingga 6 pagi sehingga 25 Mei ini hanyalah di kawasan tiga batu nautika dari darat hingga ke sempadan antarabangsa di Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu bagi membetulkan kekeliruan orang ramai mengenai pelaksanaan perintah berkurung di kawasan ESSZONE yang bertujuan mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk penculikan untuk tebusan (KFR) dan pencerobohan pengganas dari selatan Filipina.

Jauteh berkata, tidak timbul isu semua penduduk di ESSZONE dikenakan perintah berkurung dan dikehendaki berada di rumah mengikut masa ditetapkan seperti dijelaskan dalam pengisytiharan perintah berkurung berkenaan.

Sementara itu, Jauteh mengesahkan pihaknya ada menerima satu laporan polis berkaitan infografik tidak tepat yang ditularkan itu.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan bersama Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak menyebarkan berita yang tidak sahih atau palsu. Kesalahan ini boleh didakwa mengikut kedua-dua seksyen berkenaan," katanya.

Perintah berkurung di ESSZONE yang dikuatkuasakan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dilaksanakan berikutan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 1:12 PM