Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman (tengah) menunjukkan 4.15 kilogram (kg) syabu serta 36,000 pil kuda bernilai RM1.55 juta yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Tanjung Lumpur, Jumaat lalu. FOTO NSTP/MUHD ASYRAF SAWAL
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman (tengah) menunjukkan 4.15 kilogram (kg) syabu serta 36,000 pil kuda bernilai RM1.55 juta yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Tanjung Lumpur, Jumaat lalu. FOTO NSTP/MUHD ASYRAF SAWAL
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


POLIS menahan suami isteri dan merampas 4.15 kilogram (kg) syabu serta 36,000 pil kuda bernilai RM1.55 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Tanjung Lumpur, Kuantan, Jumaat lalu.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata, pasangan berusia 31 dan 30 tahun itu ditahan pada 10.05 pagi hasil maklumat dan risikan sebelum serbuan dilakukan.

Katanya, semua dadah yang dirampas di rumah teres dua tingkat itu dipercayai mahu dipasarkan di sekitar daerah Kuantan, Pahang dan Kemaman, Terengganu.

“Pemeriksaan di bilik kedua di tingkat atas rumah sewa berkenaan menjumpai empat plastik campuran warna hijau dan kuning, dengan setiap satu plastik mengandungi empat peket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan disyaki syabu.

“Polis menemui tujuh ketul balutan mampat kertas berwarna kuning yang mengandungi 36,000 pil dipercayai pil kuda dengan berat 4.85 kg,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, hari ini.

Rosli berkata, serbuan yang dijalankan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan itu mendapati suami isteri berkenaan menyewa rumah terbabit sejak dua tahun lalu dan dipercayai baru menjadi pengedar dadah di negeri ini.

Beliau percaya dadah yang dirampas diperoleh suspek daripada sindiket pengedaran dadah tempatan dan pasangan itu dikatakan dalam proses mengedarkannya kepada tokan dan pengedar kecil-kecilan.

“Siasatan mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah dan negatif ujian saringan air kencing. Kita percaya mereka baru sahaja berjinak-jinak menjadi pengedar dadah,” katanya.

Menurutnya, polis turut merampas senapang angin, Mitsubishi Triton, Suzuki Swift, skuter Yamaha NVX, barangan kemas, komputer riba dan wang tunai berjumlah RM6,707.

Katanya, pasangan itu direman enam hari sehingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui dari mana pasangan itu memperoleh bekalan dadah terbabit dan rangkaian pengedaran mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 April 2018 @ 6:46 PM