Sibu: Usianya baru 14 tahun namun seorang remaja yang tercicir sekolah sudah terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah di bandar Sibu.

Dia ditahan bersama empat lelaki berusia hingga 48 tahun di sebuah rumah di Jalan Hua Khiew di sini, dalam serbuan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Sarawak dan IPD Sibu pada 12.30 tengah hari semalam.

"Dalam serbuan itu, polis menemui lebih 191 gram ketulan kristal dipercayai syabu atau methamphetamine dalam beberapa bungkusan plastik pelbagai saiz dianggar bernilai RM53,700," kata Timbalan Ketua Polis Sibu Superintendan Martin Khoo.

Turut ditemui ialah 13.90 gram dadah dipercayai ketamin bernilai RM1,112.

Beliau berkata, pihaknya percaya remaja itu baru berjinak-jinak dalam aktiviti pengedaran dadah manakala tiga daripada empat lelaki dewasa berkenaan mempunyai rekod kegiatan dadah dengan dua adalah bersaudara.

Kesemua mereka yang didapati positif dadah telah direman tujuh hari sehingga Isnin depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori.

Polis turut menyita empat kenderaan pelbagai jenis yang keseluruhan bernilai RM92,000 dan barang kemas bernilai RM14,000 selain wang tunai RM1,050 daripada mereka. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2016 @ 8:38 PM