ZAKI Harun (dua dari kanan) menunjukkan rampasan 20,000 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM137,000 pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, hari ini. FOTO Bernama
ZAKI Harun (dua dari kanan) menunjukkan rampasan 20,000 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM137,000 pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kota Bharu: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki menyeludup 20,000 biji pil kuda dianggarkan bernilai RM137,000 di kawasan parkir kereta Kompleks Kota Darul Naim, di sini dua hari lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata penganggur berumur 28 tahun itu ditahan Ahad lalu ketika memberhentikan motosikalnya di parkir berkenaan.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas suspek menemukan 18,000 biji pil kuda seberat 2.1 kilogram dalam begnya.

Lelaki itu kemudiannya membawa polis ke sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bunohan, Tumpat, dan susulan pemeriksaan polis menemukan sebuah kotak berisi satu bungkusan kertas surat khabar mengandungi 2,000 biji pil kuda seberat 227.4 gram.

"Lelaki itu direman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan di bawah Seksyen Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2024 @ 3:33 PM