KEGIATAN memproses unsur nadir bumi REE haram di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik. FOTO Luqman Hakim Zubir
KEGIATAN memproses unsur nadir bumi REE haram di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik. FOTO Luqman Hakim Zubir
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan tiada aktiviti penerokaan unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik setakat ini.

Beliau berkata, ini berikutan syarikat Prospek Suria Sdn Bhd yang diberikan lesen eksplorasi untuk mengkaji hasil mineral berkenaan sedang menyediakan laporan laporan penilaian alam sekeliling (EIA) untuk fasa berikutnya sebelum cari gali dibenarkan.

"Kejadian sebelum ini adalah kes diteroka secara haram oleh pihak tertentu yang sudah pun dikenakan tindakan.

"Mereka yang curi REE memang tiada EIA, buat pun secara tidak sah. Syarikat yang Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) jalin kerjasama dan berikan lesen masih lengkapkan proses EIA," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri tidak akan bertindak sesuka hati dan hanya akan melakukan aktiviti pelombongan mengikut undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

"Semua pihak perlu ikut setiap prosedur ditetapkan oleh undang-undang, yang mencuri (REE) sudah ditangkap dan didakwa.

"Namun ada juga pihak yang tidak tahu apa-apa, asyik mencari jalan untuk cetuskan provokasi, spekulasi atau tohmahan untuk kepentingan politik.

"Yang itu kita tak boleh buat apa lah, biarkan saja mereka nak bercakap," katanya.

Sabtu lalu, media melaporkan Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar (KeTSA) supaya memastikan kerajaan Kedah tidak meluluskan kegiatan perlombongan REE di Hutan Simpan Bukit Enggang (HS Bukit Enggang) di Sik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 6:20 PM