ANWAR tiba di Majlis Pelancaran Right to the City: Kita Untuk Kita (K2K) di PPR Kampung Baru Hicom, Jalan Bukit Belimbing. FOTO Eizairi Shamsudin
ANWAR tiba di Majlis Pelancaran Right to the City: Kita Untuk Kita (K2K) di PPR Kampung Baru Hicom, Jalan Bukit Belimbing. FOTO Eizairi Shamsudin
Amir Abd Hamid


Shah Alam: Pelan Pembangunan Kuala Lumpur (PPKL) ditangguhkan sebulan lagi bagi membolehkan pelbagai pihak memberikan input sebelum ia dimuktamadkan pada Jun.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengesahkan pindaan pelan itu sudah diluluskan di peringkat pegawai.

Katanya, rundingan dan perbincangan mengenai pelan ini sudah dibincangkan lebih lapan tahun dan beberapa pindaan dalam pelan itu sudah diluluskan.

"Saya bagi sebulan lagi sehingga akhir Mei bagi membolehkan pelan itu diedarkan supaya ahli politik, syarikat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pakar lain memberikan input terakhir.

"Saya beri ruang sebulan lebih untuk diperbaiki sehingga akhir Mei ini," katanya pada Pelancaran Program Kita-Untuk-Kita (K2K) di Projek Perumahan Rakyat Kampung Baru Hicom di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan tidak menghalang projek mega dibangunkan di tanah persendirian atau swasta namun projek itu mestilah menjana pertumbuhan ekonomi, menjaga kehijauan dan mengambil kira soal perumahan serta keselesaan rakyat.

"Seperti gerai dan warung yang (dimahukan) agak 'international standard', bersih dan indah. Sebab itu saya tangguhkan (PPKL)," katanya.

Menurutnya, beliau sebagai Perdana Menteri tidak mahu lagi hanya berbangga dengan mercu tanda projek mega saja.

Sebaliknya, Anwar berkata, beliau mahu berbangga dengan projek mengindahkan ibu negara sebagai kawasan yang bersih dengan perniagaan termasuk penjaja kecil di warung dan gerai dalam keadaan selesa serta kemas.

"Saya juga tekankan mengenai tebatan banjir dan kawasan tepian sungai yang dibangunkan untuk manfaat penduduk kota termasuk menjadikan taman yang indah," katanya.

Untuk rekod, di bawah pentadbiran beliau sebagai Perdana Menteri, Kementerian Wilayah kini adalah di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Pentadbiran Wilayah Persekutuan bertanggungjawab ke atas Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 12:17 PM