DATUK Seri Anwar Ibrahim menyantuni asnaf dan fakir miskin pada Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi hari ini.  FOTO Bernama.
DATUK Seri Anwar Ibrahim menyantuni asnaf dan fakir miskin pada Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi hari ini. FOTO Bernama.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penangguhan pewartaan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040) adalah bagi memastikan ia mengikut kerangka Kerajaan Perpaduan berlandaskan konsep Malaysia Madani.

Beliau berkata projek pembangunan di ibu negara itu juga perlu dipastikan mampu membantu rakyat berpendapatan rendah.

"Ada tauke-tauke besar marah saya, saya bekukan sebab mahu kelulusan ikut kerangka pemikiran baharu kita… kalau kamu buat projek besar dengan untungnya beratus juta atau berbilion, silakan tetapi mesti ada projek yang kamu lakukan itu membantu kalangan yang berpendapatan rendah… kerajaan tidak mampu nak belanja keseluruhannya untuk rakyat yang berpendapatan rendah.

"Kita syaratkan ada projek yang memberi faedah kepada rakyat biasa. Kalau tidak, orang miskin tidak boleh duduk di Kuala Lumpur," katanya ketika berucap pada Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Perdana Menteri juga berkata antara perkara yang diilhamkan beliau bagi pembangunan di ibu kota ialah memastikan setiap gerai dan warung kelihatan cantik, bersih dan berseni.

Terdahulu, Anwar dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa PSKL 2040 akan ditangguh hingga 31 Mei bagi membolehkan pelanjutan sesi libat urus oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Melalui kenyataan itu, Anwar memaklumkan beliau mengambil perhatian pandangan yang berkehendakkan supaya pewartaan dokumen tersebut ditangguh untuk memberi peluang lebih luas kepada pihak berkepentingan lain bagi menyatakan pendapat terhadap pelan pemajuan Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 11:51 PM