GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Shah Alam: Kerajaan mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM35 juta bagi memperluaskan program Kita-Untuk-Kita (K2K) sekali gus memperkasakan lagi komuniti perumahan awam bandar sekitar Lembah Klang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sebelum ini dalam Belanjawan 2023 dibentangkannya, kerajaan bersetuju RM15 juta dikhususkan untuk memperkasa komuniti di tiga projek perumahan rakyat (PPR) di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, program K2K antaranya bertujuan membina kapasiti dan memperkasa peranan komuniti untuk menggalas tanggungjawab bersama terkait hal pengurusan bangunan, persekitaran serta pengisian termasuk bantuan memasarkan pengeluaran hasil perniagaan di kawasan perumahan awam.

"Menyedari pentingnya usaha ini dilipatgandakan di lebih banyak kawasan perumahan awam, khususnya di sekitar Lembah Klang, sukacita saya umumkan peruntukan tambahan sebanyak RM35 juta.

"Ia bagi memperluas pelaksanaan program K2K secara berperingkat sehingga 2024 melibatkan 10 PPR di Kuala Lumpur dan Selangor.

"InsyaAllah, ikhtiar ini pastinya dapat memberi manfaat kepada lebih 50,000 warga PPR untuk menikmati kehidupan yang lebih sejahtera," katanya ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Kita-Untuk-Kita (K2K) di Blok C, PPR Kampung Baru Hicom, di sini, hari ini.

Program itu dianjurkan dengan inisiatif Think City iaitu anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Pengarah Urusan Think City Hamdan Abdul Majeed.

Menurutnya, usaha juga perlu dilipatgandakan dalam bidang pendidikan kerana secara relatifnya anak PPR termasuk di Putrajaya adalah lemah.

Perdana Menteri berkata, komitmen Kerajaan Perpaduan dalam mengangkat suara rakyat, menjamin kehidupan yang lebih bermakna adalah jelas dan nyata.

"Setiap warganegara berhak memiliki kehidupan yang selamat, berdaya huni dan punyai akses kemudahan asas yang terbaik.

"Harapan saya tentunya program K2K ini dapat mengangkat dan memperkasa warga komuniti perumahan awam untuk hidup lebih baik berbanding sebelumnya.

"Bagi memastikan keberkesanan program, saya sendiri memberi komitmen untuk mempengerusikan mesyuarat pertama bagi menyelaras usaha meningkatkan daya huni perumahan awam antara pihak kerajaan dan swasta," katanya.

Beliau menjelaskan peruntukan tambahan sebanyak RM35 juta itu membabitkan usahasama dengan kerajaan negeri Selangor dan manfaatnya turut termasuk termasuk komuniti di PPR Kampung Baru Hicom Shah Alam.

"Pembinaan Malaysia Madani mendambakan penghidupan rakyat yang sejahtera termasuk memastikan akses kepada kemudahan asas seperti bekalan air bersih, elektrik, jaringan telekomunikasi, keselamatan dan fasiliti kesihatan serta pendidikan.

"Kendatipun begitu, warga kota terutamanya penduduk yang mendiami perumahan rakyat masih bergelut dengan pelbagai tantangan yakni bukan sahaja kemudahan asas buat mereka, tetapi juga soal kemampanan mata pencarian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 10:54 AM