Amir Abd Hamid


Shah Alam: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai individu bermasalah dan tidak meneliti kenyataan beliau mengenai isu perairan Laut China Selatan yang kini menjadi pertikaian China.

Anwar menegaskan kerajaan tidak akan bertolak ansur berhubung isu kedaulatan di perairan berkenaan.

"Tan Sri Muhyiddin ini dia banyak masalah sekarang. Dia tidak baca kenyataan saya. Kita akan terus dengan projek cari gali Petronas, noktah. Tak ada langsung yang saya sebut saya nak tolak ansur dan ini saya sampaikan kepada pemimpin-pemimpin China yang tidak dilakukan oleh beliau (Muhyiddin).

"China menyatakan ada bertindih jadi kalau begitu kita berbincang tetapi tidak menghalang untuk kita teruskan projek.

"Projek tetap berjalan jadi apa yang tidak kita kompromi kerana projek cari gali Petronas akan tetap berjalan di kawasan yang kita percaya milik negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Pelancaran Program Kita-Untuk-Kita (K2K) di Projek Perumahan Rakyat Kampung Baru Hicom di sini, hari ini.

Anwar dalam masa sama beranggapan, isu seumpama itu tidak akan berbangkit sekiranya pihak pembangkang menunjukkan kehadiran yang positif di parlimen.

"Ini masalah pembangkang yang dia tidak dapat nak tumpukan, tak hadir parlimen, tak dengar pandangan dan tak baca ulasan kerana kita konsisten sebut projek cari gali ini diteruskan.

"Memang China kata ada bertindih jadi saya kata bincang... takkan nak perang?" katanya.

Dalam kenyataan kelmarin, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu itu berkata, kenyataan Anwar berhubung isu berkenaan sebagai tidak bertanggungjawab selain menggadai maruah serta kedaulatan negara.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, kenyataan berkenaan juga cuai dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Perdana Menteri.

Malah Muhyiddin mendakwa, implikasi daripada tindakan itu secara tidak langsung memperakui tuntutan China terhadap kawasan yang sudah sah menjadi wilayah Malaysia.

ANWAR menyampaikan Anugerah Pekerja Contoh kepada Dr Malar ketika Sambutan Hari Pekerja 2023 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
ANWAR menyampaikan Anugerah Pekerja Contoh kepada Dr Malar ketika Sambutan Hari Pekerja 2023 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 1:16 PM