Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berhubung peruntukan pembangkang dalam masa terdekat.

Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya pihaknya sudah melantik tiga Ahli Parlimen untuk membuat rundingan berkenaan.

"Kita melantik tiga Ahli Parlimen dari PN untuk berunding iaitu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin.

"Rundingan akan dilakukan dalam masa terdekat. Kita tidak tahu berapa jumlah peruntukan sebenar, namun Perdana Menteri memaklumkan akan memberi jumlah yang sama dengan Ahli Parlimen kerajaan.

"Kita nak tengoklah bukti nanti dan apa syarat yang dikenakan," katanya pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf di sini, semalam.

TUAN Ibrahim pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TUAN Ibrahim pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Pada masa sama, Tuan Ibrahim menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang adalah sama dengan pihak kerajaan.

Bagaimanapun, beliau berharap peruntukan itu dapat disalurkan dengan kadar segera bagi membantu rakyat terutama ketika Ramadan.

"Saya jangkakan rundingan hanya berlaku sekali sahaja sebelum selesai," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Anwar mengulangi kesediaannya memberi jumlah peruntukan yang sama kepada ahli Parlimen pembangkang seperti diterima wakil rakyat blok kerajaan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, ia perlu dimulakan dengan proses rundingan membabitkan kedua-dua pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 7:51 AM