ANWAR ketika menggulung perbahasan usul KSP RMK12 di Dewan Rakyat. FOTO Bernama
ANWAR ketika menggulung perbahasan usul KSP RMK12 di Dewan Rakyat. FOTO Bernama
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid & Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan wakil rakyat pembangkang agar berunding dengan kerajaan sekiranya mahukan peruntukan diberi kepada mereka.

Perdana Menteri semasa menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) mengingatkan Ahli Parlimen pembangkang supaya tidak angkuh dan sombong, sebaliknya berbincang dengan kerajaan.

Anwar berkata, peruntukan tersebut itu juga bukan merupakan hak Ahli Parlimen.

"Lepas putus, tandatangan dan luluslah. Ini tidak, tak payah tandatangan, tak payah bincang (Ahli Parlimen pembangkang minta) beri (peruntukan dan kata) ini hak kami.

"Bukan, bukan hak Ahli Parlimen. Runding (dahulu), setuju kita lulus. Kalau tidak, tunggulah sampai bila pun, saya tak akan luluskan," katanya di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, itu keputusannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Beliau berkata, keputusan dibuatnya itu juga mengambil contoh perkara yang pernah dibuat oleh Datuk Seri Ismail Yaakob ketika menjawat jawatan Perdana Menteri.

"Seperti mana diluluskan oleh (Bera) sewaktu menjadi Perdana Menteri, peraturan yang lebih kurang kita guna.

"Nak peruntukan, bincang dan saya telah tugaskan Timbalan Perdana Menteri Kedua (Datuk Seri Fadillah Yusof) untuk mewakili pihak kami. Selesai dengan baik. Runding, jangan sombong dan angkuh," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 8:05 PM