Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Pas menyifatkan ketidakhadiran tiga pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat pada sesi soal jawab Perdana Menteri (PMQ) kelmarin, tidak perlu dijadikan isu.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini kerana ada pihak yang memberi gambaran salah berhubung sesi PMQ.

"Kadang-kadang mereka silap faham, sesi PMQ bukan semua orang boleh tanya, jika Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir pun, bukan boleh tanya soalan.

"Orang yang kemukakan soalan bertulis dan selepas Perdana Menteri jawab, orang yang sama sahaja boleh bertanyakan soalan tambahan, bukannya orang lain boleh mencelah.

"Ini kerana prosedur dalam Parlimen bukan macam itu. Kita ada lebih 70 ahli Parlimen dan perkara itu (isu ketidakhadiran) hanya sekadar mahu menampakkan keburukan pembangkang," katanya.

Beliau pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf di Kota Bharu, semalam.

TUAN Ibrahim pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TUAN Ibrahim pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Media sebelum ini melaporkan, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, mempertikaikan kegagalan tiga pemimpin utama pembangkang, hadir di Dewan Rakyat, bagi bertanyakan soalan ketika sesi PMQ kelmarin.

Mereka ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, berkata, pembangkang khususnya pimpinan utama mereka seharusnya mengambil peluang terbaik untuk membangkitkan soalan, berdepan dan bersemuka dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi PMQ itu.

Dalam perkembangan lain menyentuh persediaan Pilihan Raya Negeri (PRN), Tuan Ibrahim berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan berhubung agihan kerusi namun belum memuktamadkan perkara itu.

Katanya, sehingga kini perbincangan antara parti dalam PN berjalan lancar.

"Setakat ini semua negeri sudah mengadakan perbincangan dan tidak berdepan sebarang masalah berbangkit. Cuma tunggu untuk buat keputusan akhir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 8:06 AM