CHUAN Chin membeli juadah untuk berbuka puasa. FOTO Ihsan pembaca.
CHUAN Chin membeli juadah untuk berbuka puasa. FOTO Ihsan pembaca.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Kenangan berpuasa bersama rakan Muslim di asrama sekolah, 13 tahun lalu menggamit memori Wee Chuan Chin untuk menjalani ibadah itu pada Ramadan ini.

Wee, 29, mengambil inisiatif itu untuk menguji tahap kesabaran dan disiplin dirinya, selain turut menetapkan sekurang-kurangnya dia perlu berpuasa penuh selama lima hari.

Dia yang lebih dikenali sebagai Abe Wee berkata, setakat ini sudah tiga hari berpuasa penuh selepas Ramadan pertama yang lalu dan mengakui sangat mencabar buat dirinya.

"Ketika Tingkatan Empat dan Lima, saya bersekolah asrama di Cheras dan ketika dua tahun tinggal di asrama saya ada berpuasa beberapa hari kerana mengikut rakan Muslim berpuasa.

"Selepas itu saya tidak pernah berpuasa dan tahun ini keinginan itu datang untuk cuba berpuasa tetapi ternyata ia sangat mencabar sehingga ada puasa saya separuh hari," katanya ketika dihubungi.

Katanya, disebabkan itu dia berasa kagum dengan komuniti Muslim terutama mereka yang berkerja di bawah menteri terik, menghabiskan sepenuh masa di jalan raya selain melakukan kerja berat, mampu berpuasa penuh.

"Saya fikir ketika di asrama saya boleh berpuasa, jadi sekarang pun boleh juga. Walaupun tak dapat berpuasa penuh 12 hari tetapi bersyukur juga dapat tiga hari kerana saya melakukan perkara yang bukan amalan wajib saya.

"Saya menetapkan lima hari untuk berpuasa penuh tetapi kalau sudah capai sasaran itu pun saya akan cuba berpuasa lagi mengikut kemampuan," katanya yang berkerja sebagai kualiti analisis dan tinggal di Taman Melawati, di sini.

Abe Wee mengakui bukan mudah untuk menahan lapar dan dahaga terutama ketika cuaca panas, namun menganggap keseronokan mengunjungi bazar Ramadan sebagai 'ganjaran'.

"Ketika saya berpuasa penuh, ibu akan memasak juadah berbuka dan selebihnya dibeli di bazar Ramadan. Ketika di bazar memang rambang mata kerana banyak makanan, malah dapat berjumpa rakan juga. Itu membuatkan seronok ke bazar.

"Untuk bangun bersahur tiada masalah kerana saya akan kunci jam dan pernah juga masak nasi goreng resipi ibu, cuma masa siang memang mencabar," kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Berhubung videonya berpuasa mendapat perhatian, Abe Wee berkata, video itu bukan semata untuk kandungan TikTok sebaliknya, belajar memperbaiki cara berpuasa daripadanya komen netizen.

"Daripada video itu juga saya belajar banyak ilmu baru terutama ketika saya terjilat kuah di jari ketika menuangkan lauk ke dalam mangkuk dan pengikut memberitahu jika tidak sengaja, tidak mengapa dan perlu terus berkumur lagipun hanya sedikit saja.

"Selain ada yang berkongsi tips untuk kekal cergas dengan mengamalkan minum air suam ketika sahur dan makan kurma dalam bilangan ganjil. Saya sangat berterima kasih dengan semua sokongan dan petua yang diberikan," katanya.

Berkenaan kefasihannya bertutur dalam Bahasa Melayu dan dialek Kelantan, Abe Wee berkata, sering bercampur dengan komuniti Melayu banyak membantunya menguasai bahasa kebangsaan.

"Walaupun kami sekeluarga tidak menetap di Kelantan tetapi masih menggunakan dialek negeri asal kami di rumah selain bercakap menggunakan Bahasa Hokkien.

"Kami memang banyak bergaul dengan komuniti Melayu kebetulan ayah adalah pegawai tentera dan kini sudah bersara. Malah, saya juga bersekolah rendah dan menengah di sekolah kebangsaan," katanya.

Terdahulu, video Abe Wee berkongsi pengalaman puasanya mendapat perhatian warga media sosial. Selain Abe Wee, adiknya, Wee Yun Nee yang mesra disapa Mekyun turut popular kerana pertuturan dalam bahasa Melayu dan dialek Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 4:28 PM