Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Selepas musnah terbakar Januari lalu, Gedung tekstil baharu Jakel yang terletak 200 meter dari premis lama di Seksyen 7 di sini, mula beroperasi selepas mendapat kelulusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Tenaga Nasional Berhad (TNB), bomba serta pihak berkaitan.

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Mohamed Feroz Mohamed Jakel, berkata, gedung sementara itu dibenarkan beroperasi selama dua tahun oleh MBSA dan mula dibuka kepada pengunjung pada 25 Mac lalu.

"Bangunan ini dibina dengan struktur yang kukuh iaitu besi dan dinding batu, bukan khemah sementara untuk satu dua bulan...bangunan ini sudah mendapat kelulusan (beroperasi) selama dua tahun.

"MBSA sudah perakui (kelulusan) dan kita juga melantik perunding bertauliah untuk menjalankan kerja-kerja berkaitan.

"Dari segi pendawaian elektrik, ia mengikut piawaian ditetapkan TNB selain kelulusan bomba dan sebagainya," katanya dalam sidang media Majlis Pelancaran Gedung Tekstil Baharu Jakel di Seksyen 7, di sini, tadi.

Mengulas mengenai premis lama yang terbakar itu, Mohamed Feroz berkata, premis itu masih dalam proses ujian kekuatan bangunan untuk melihat sama ada keadaan bangunan masih kukuh atau sebaliknya.

"Kita akan mendapat keputusan Mei nanti, jika kita perlu robohkan ..kita akan roboh dan bina semula. Tetapi jika perlu dibaiki, kita akan baiki.

Beliau berkata, pihak bomba juga sudah memaklumkan siasatan kebakaran Wisma Jakel itu sudah selesai dan ia berpunca dari litar pintas.

Orang ramai membeli-belah pakaian pada Perasmian Pembukaan Gedung Baharu Jakel Shah Alam di Seksyen 7, Shah Alam. FOTO  FAIZ ANUAR
Orang ramai membeli-belah pakaian pada Perasmian Pembukaan Gedung Baharu Jakel Shah Alam di Seksyen 7, Shah Alam. FOTO FAIZ ANUAR

Pada masa sama katanya, gedung baharu yang terletak sebelah Hospital Shah Alam itu menyediakan kawasan tempat letak kenderaan dengan kapasiti 1,000 ruang dalam satu masa.

"Kita memilih lokasi ini menjadi lokasi perniagaan sementara sebab berhampiran lokasi lama, memudahkan pelanggan mengunjungi tempat ini," katanya.

Katanya, pihaknya juga merancang menjadikan premis sementara seluas 2.84 hektar itu sebagai sebuah 'mall' dalam tempoh dua tahun akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 4:19 PM