Sri Ayu Kartika Amri


JAKEL menyerahkan sepenuhnya isu mengenai khemah besar yang dirobohkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kepada peguam gedung tekstil terkenal negara itu.

Pengarah Pemasaran Jakel, Azlan Abu Bakar berkata, pihaknya juga sedang menunggu hasil siasatan daripada pihak berwajib.

"Peguam kami sudah ambil maklum mengenai perkara ini dan menyerahkan semuanya kepada peguam.

"Sekarang pihak berwajib sedang menyiasat dan kita tunggu hasilnya," katanya pada sidang media sempena kempen Jakel Barulah Raya 2020 di Kuala Lumpur, hari ini.

Azlan berkata, Jakel juga akan mengeluarkan kenyataan rasmi tidak lama lagi bagi menerangkan mengenai isu sebenar.

AZLAN Abu Bakar (dua dari kanan) bersama duta pakaian Jakel, Datuk Aaron Aziz (kanan), Nabil Ahmad (dua dari kiri) dan Syuk Sahar mengadakan sidang media sempena Kempen Jakel Barulah Raya 2020 di Jakel Mall, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin
AZLAN Abu Bakar (dua dari kanan) bersama duta pakaian Jakel, Datuk Aaron Aziz (kanan), Nabil Ahmad (dua dari kiri) dan Syuk Sahar mengadakan sidang media sempena Kempen Jakel Barulah Raya 2020 di Jakel Mall, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin

Semalam, MBSA mengambil tindakan merobohkan khemah besar milik Jakel di Seksyen 7, Shah Alam kerana didapati dibina tanpa kebenaran.

MBSA dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak empat Notis Amaran Kesalahan sudah dikeluarkan kepada syarikat berkenaan sejak 2015 sebelum tindakan perobohan.

Susulan itu, pada 2 Mac lalu, pihak MBSA mengeluarkan notis mengikut Seksyen 70(1) Akta 133 memaklumkan bahawa khemah di atas lot berkenaan didirikan tanpa mendapat kelulusan bertulis daripada MBSA.

Notis mengarahkan pihak berkenaan secara serta-merta untuk merobohkan struktur khemah berkenaan.

Pada masa sama, satu lagi notis mengikut Seksyen 72(1) Akta 133 dikeluarkan dan mengarahkan pihak berkenaan untuk merobohkan khemah berkenaan dalam tempoh tiga hari tamat pada 4 Mac.

Sementara itu, sumber memaklumkan tapak khemah berkenaan milik Jakel yang sudah dibeli beberapa tahun lalu, manakala dakwaan Jakel mencuri elektrik daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah tidak benar.

"Jakel memang ada sambungan elektrik TNB secara sah yang mana bil elektrik itu dibayar setiap bulan tanpa gagal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 4:02 PM