Norzamira Che Noh


Shah Alam: Polis meminta orang awam tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan punca kebakaran Wisma Jakel Shah Alam yang berlaku pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor sedang menjalankan siasatan untuk mengetahui punca sebenar kebakaran.

"Polis pohon orang awam tidak mengeluarkan sebarang spekulasi atau andaian berkaitan perkara ini.

"Kita kena hormati perasaan mereka yang alami kerugian serta pekerja yang hilang sumber pendapatan akibat insiden ini," katanya ketika diminta mengulas mengenai dakwaan beberapa netizen bahawa kebakaran di gedung tekstil terkemuka itu disengajakan.

Beliau berkata, setakat ini polis belum menerima laporan berkaitan perkara itu daripada mana-mana pihak.

Katanya, tindakan undang-undang boleh diambil oleh pemilik sekiranya laporan siasatan bomba membuktikan sebaliknya.

Semalam, gedung tekstil terkemuka itu terbakar 100 peratus dalam insiden kebakaran yang bermula sekitar 7 pagi.

Susulan kebakaran itu, Kumpulan Jakel dianggarkan mengalami kerugian awal hampir RM100 juta.

Jumlah itu bagaimanapun hanya membabitkan nilai bangunan, manakala jumlah sebenar masih belum dapat dianggarkan.

ANGGOTA bomba memadam kebakaran Wisma Jakel Shah Alam yang musnah dalam kejadian kebakaran pagi semalam. FOTO arkib NSTP
ANGGOTA bomba memadam kebakaran Wisma Jakel Shah Alam yang musnah dalam kejadian kebakaran pagi semalam. FOTO arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 12:15 PM