Paya Linda Yahya


Gua Musang: Beberapa kawasan di bandar ini dinaiki air susulan hujan lebat berterusan selama satu jam setengah bermula jam 1.30 petang tadi.

Antara kawasan terbabit dengan kejadian banjir kilat itu adalah di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di Bandar Baru, persimpangan lampu isyarat berdekatan restoran makanan segera KFC dan Taman Tropika di sini.

Menurut Sazali Ibrahim, 43, dia terpaksa memberhentikan kenderaan kerana tidak berani untuk meredah air yang melimpahi jalan.

Katanya, air hujan yang melimpahi jalan di hadapan IPD Gua Musang hanya boleh dilalui kenderaan berat.

"Saya tidak berani untuk melintas kerana melihat air yang agak dalam dan deras. Jadi saya hanya menunggu di sini sehingga air surut sepenuhnya sebelum melaluinya.

"Keadaan ini di luar jangkaan kerana keadaan cuaca yang tidak menentu dan banyak kenderaan kini terkandas di depan IPD Gua Musang dan Taman Tropikal," katanya.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Gua Musang, Mohd Yussalmi Mohd Yusoff berkata, sehingga pukul 3 petang hujan masih berlaku di bandar.

BANJIR kilat yang berlaku di beberapa kawasan di daerah ini tular di media sosial. FOTO tular.
BANJIR kilat yang berlaku di beberapa kawasan di daerah ini tular di media sosial. FOTO tular.

Katanya, pihaknya menerima aduan sebuah kenderaan tersangkut dalam banjir kilat kira-kira pukul 2.50 petang di hadapan IPD Gua Musang dan ketika ini usaha menyelamat sedang dilakukan.

"Kami menasihatkan pengguna jalan raya berhati-hati dan tidak meredah air kerana boleh membahayakan nyawa.

"Ketika ini hujan masih lagi turun dan kita berharap agar hujan segera berhenti serta air cepat surut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 4:01 PM