KAMPUNG Limau Kasturi kerap berlaku banjir kilat apabila hujan lebat lebih enam jam perlu penempatan baru. FOTO Ramli Ibrahim
KAMPUNG Limau Kasturi kerap berlaku banjir kilat apabila hujan lebat lebih enam jam perlu penempatan baru. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


‘KAMI dah tak tahan setiap kali hujan lebat, kawasan rumah akan dinaiki banjir kilat bersama lumpur,” kata penduduk di Kampung Limau Kasturi, dekat Gua Musang, Salmah Ishak, 41.

Salmah antara 400 penduduk kampung yang tinggal berhampiran Sungai Galas merayu kerajaan menyediakan perkampungan baru untuk mengatasi masalah banjir kilat.

Katanya, banjir kilat akan berlaku sekiranya hujan lebat lebih daripada enam jam sebelum air akan mula melimpahi ke kawasan penempatan penduduk.

“Tahun ini sahaja, saya rasa lebih enam kali kawasan rumah dinaiki air dan selepas air surut, kami terpaksa membersih rumah yang dipenuhi lumpur.

“Sekiranya musim tengkujuh dalam tempoh sebulan antara dua hingga tiga kali sebulan kami terpaksa berpindah.

“Perkampungan ini terletak di kawasan rendah dan mudah dinaiki air. Oleh itu penduduk berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera termasuk menyediakan penempatan baru yang lebih selamat,” katanya,

Seorang lagi penduduk, Ismail Isa, 36, pula berkata, penduduk kampung itu wajar diberi penempatan baru yang lebih selesa dan selamat.

“Kadang kala apabila berlaku banjir kilat ada penduduk yang terperangkap berikutan air sungai naik mendadak sekeliling rumah.

“Sebelum ini, kerajaan memang bercadang untuk membuka penempatan baharu di kawasan lebih tinggi, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 11:53 AM