KEADAAN rumah mangsa yang dilanda banjir di FGV Aring 10, semalam. FOTO Ihsan penduduk
KEADAAN rumah mangsa yang dilanda banjir di FGV Aring 10, semalam. FOTO Ihsan penduduk
Paya Linda Yahya

Gua Musang: Kira-kira 44 keluarga di FGV Aring 10 di sini, berhadapan detik cemas apabila air Sungai Lebir naik secara mendadak sehingga menyebabkan rumah mereka dinaiki air, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, air mula melimpahi rumah penduduk sehingga menenggelamkan hampir separuh rumah mereka.

Menurut Penghulu Mukim Aring, Mohd Hisyam Nordin, kejadian terlalu pantas dan air naik terlalu cepat susulan hujan yang berlaku sejak malam kelmarin.

Katanya, hampir setiap tahun berlaku banjir di kawasan penempatan penduduk sejak 2014.

"Memang kejadian banjir ini sering berlaku setiap kali hujan lebat dan penduduk sudah bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan pihak berkuasa.

"Namun, kejadian semalam berlaku terlalu pantas kerana hujan lebat yang berterusan, sehingga tidak dapat menyelamatkan harta benda. Namun, air sungai surut selepas lebih dua jam.

"Alhamdulillah semua penduduk selamat walaupun terpaksa menanggung kerugian harta benda seperti barangan elektrik apabila tidak sempat memindahkan ke tempat tinggi," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, dia bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku dan penduduk sempat berpindah ke tempat yang lebih selamat.

"Selepas air surut penduduk terus bertindak membersihkan rumah mereka dan masih dalam keadaan berjaga-jaga sekiranya berlaku banjir lagi," katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Gua Musang, Mohd Hanafi Mohd Bokri berkata, pihak tiba di FGV Aring 10 kira-kira 11 pagi.

"Dengan kekuatan seramai empat anggota dan sebuah jentera, kami tiba untuk membantu penduduk. Alhamdulillah, semua penduduk selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2023 @ 10:14 AM