GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain


Klang: Sebanyak 830 sekolah di seluruh negara dikenal pasti sebagai bangunan daif dan memerlukan baik pulih.

Susulan itu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi memantau bangunan sekolah yang disenaraikan daif serta tidak selamat.

Timbalan Menteri KPM, Lim Hui Ying berkata, setakat ini sebanyak 830 sekolah yang disenaraikan sebagai bangunan daif itu menduduki skala enam hingga skala tujuh terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, beliau akan memantau dan mengikuti dengan lebih terperinci perkembangan bangunan sekolah yang disenaraikan itu.

"Bagi skala enam, pemeriksaan dibuat oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), manakala bagi skala, tujuh pemeriksaan dan pengesahan dibuat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Selagi bangunan ini mengancam keselamatan murid, sudah tentu (pelajar) akan dipindahkan (tempat lain).. keselamatan murid akan diutamakan tetapi bangunan ini boleh lagi diselamatkan.

"Jadi kita kena tengok keadaan macam mana..kita kena bekerja rapat dengan KKR untuk memastikan semua langkah-langkah pemeriksaan atau pemantauan dibuat dengan teliti sekali (bagi memastikan sekolah selamat diduduki)," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pameran Pendidikan Institusi Pengajian Tinggi Awam Siri 1 di Klang Commercial Convention Centre, di sini, tadi.

Mengulas lanjut katanya, kerosakan bangunan sekolah itu meliputi pelbagai aspek terutamanya membabitkan struktur bangunan yang tidak selamat dan mengancam keselamatan.

"Bangunan sekolah daif ini tidak selamat untuk diduduki oleh murid-murid...skala enam dan skala tujuh itu mengancam keselamatan mereka..ini menjadi perhatian kita.

"Saya akan bincang dengan YB Menteri (Fadhlina Sidek) mengenai (semua) bangunan (sekolah) daif ini..kita mesti lakukan dengan serta-merta terutamanya di Sabah Sarawak," katanya.

Media sebelum ini melaporkan kejadian bumbung runtuh membabitkan sebuah blok di Sekolah Menengah Kebangsaan di Cheras Jaya tengah hari kelmarin.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai Pameran Pendidikan IPTA Siri 1 yang dianjurkan oleh KPM dengan kerjasama Majlis Pengetua Sekolah Menengah Conforming Malaysia dan Gabungan Lembaga Pengelola Sekolah Malaysia.

"Pameran ini akan diadakan di empat lokasi iaitu di sini (Klang, Selangor) di Georgetown, Pulau Pinang; 7 April di Ipoh, Perak dan 8 April di Batu Pahat, Johor.

"Pameran ini bertujuan menyediakan satu platform kepada pelajar sekolah menengah, khasnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) untuk mengetahui lebih mendalam peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang pilihan masing masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 12:43 PM