DR Radzi (kiri) melawat kawasan blok asrama yang telah dibaik pulih dan boleh digunakan semula pada lawatan kerja siri ke-3 di SMK Bandaraya, Kota Kinabalu. FOTO BERNAMA
DR Radzi (kiri) melawat kawasan blok asrama yang telah dibaik pulih dan boleh digunakan semula pada lawatan kerja siri ke-3 di SMK Bandaraya, Kota Kinabalu. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah menyelesaikan isu bangunan asrama yang menjadi masalah kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya di Kota Kinabalu, Sabah.

Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata, dalam lawatan pertamanya ke SMK Bandaraya pada 19 Julai lepas, didapati bangunan asrama berkenaan sudah siap dibangunkan sejak enam tahun lalu, namun tidak boleh digunakan kerana belum diserah kepada sekolah berkenaan.

Menurutnya, pelajar yang tinggal di asrama itu terpaksa mandi di luar dan masalah tersebut berlarutan sekian lama kerana kemudahan bilik air di bangunan asrama lama tidak dapat digunakan.

"Susulan lawatan itu, tindakan segera diambil dan hasilnya, murid-murid sudah dapat menggunakan bangunan asrama baharu dan tidak lagi mandi di luar.

"Tahun ini, RM87,322.5 diperuntukkan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi untuk keperluan perabot, dengan proses perolehan sudah dijalankan, manakala penghantaran perabot sudah selesai dan sekolah itu sudah pun menggunakan blok asrama berkenaan," katanya dalam kenyataan dikeluarkan KPM hari ini.

Sementara itu, Radzi menjelaskan SMK Bandaraya sudah menerima peruntukan lebih RM700,000 sejak 2018 termasuk bagi menyelesaikan isu bangunan asrama berkenaan.

Memperincikan perkara itu, beliau berkata, ia membabitkan pembaikan pagar sekolah dengan kos RM100,000 pada 2018, manakala RM20,000 bagi 2019 untuk pembaikan kecil elektrik.

Selain itu, menurutnya, sejumlah kos RM500,000 diperuntukkan bagi kerja pembinaan pagar sekolah termasuk penyelenggaraan kumbahan, 'perimeter drain' dan pembaikan jalan sedang dilaksanakan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

DR Radzi melihat bilik asrama yang perlu disusun atur semula. FOTO BERNAMA
DR Radzi melihat bilik asrama yang perlu disusun atur semula. FOTO BERNAMA

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sehingga 2020 terdapat 466 sekolah mempunyai bangunan daif yang berskala impak enam dan tujuh (tidak selamat diduduki) di Sabah.

Sehubungan itu, katanya, KPM sudah dan akan terus berusaha keras untuk memastikan isu bangunan sekolah daif di seluruh negara dapat diselesaikan sebaik mungkin supaya dapat memberikan kemudahan pembelajaran yang selamat dan kondusif kepada pelajar dan warga sekolah.

"Cadangan projek menaik taraf dan membangun semula sekolah daif di Sabah dimulakan sejak 2017 sehingga kini, menggunakan sama ada peruntukan-peruntukan pembangunan (DE) Rancangan Malaysia lima tahun (Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan RMK-12) mahupun Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

"Di samping itu, kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan terus dilaksanakan bagi bangunan yang masih boleh diperbaiki, iaitu yang berada pada skala impak lima dan ke bawah," katanya.

Pada masa sama, Radzi menjelaskan sejumlah RM1.252 bilion peruntukan diluluskan dalam tempoh 2017 hingga September 2020, khusus bagi menaik taraf dan membangunkan semula 237 sekolah iaitu 50.9 peratus daripada jumlah sekolah yang mempunyai bangunan daif di Sabah.

"Pada 2020, peruntukan yang diluluskan sebanyak RM621.22 juta bagi menaik taraf 65 bangunan sekolah daif seluruh Sabah.

"Daripada jumlah itu, tender bagi 25 sekolah sudah diiklankan dan SST (Surat Setuju Terima) dijangka dikeluarkan pada November 2020.

"Baki 40 sekolah lagi akan dikeluarkan iklan secara berperingkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2020 @ 8:52 PM