Gambar hiasan. FOTO NSTP.
Gambar hiasan. FOTO NSTP.
Farah Marshita Abdul Patah dan Noor Atiqah Sulaiman


Kuala Lumpur: Seramai 13,440 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan di 21 depot Imigresen yang menelan belanja sebanyak RM84.8 juta setahun.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kos makan dan minum di setiap pusat tahanan bagi seorang tahanan adalah RM13.50 sehari.

Sehubungan itu, Shamsul, berkata, kementeriannya sedang memperinci cadangan untuk menambah baik pengurusan depot bagi mengurangkan perbelanjaan.

"Kita sedar perbelanjaan cukup tinggi dan kita sedang mengkaji dan memperhalusi perkara ini," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, sebanyak RM35 juta diperuntukkan bagi melaksana kerja pembaikan dan penyelenggaraan pejabat dan balai polis.

Katanya, kerajaan turut memperuntukkan RM113 juta bagi kerja pembaikan kuarters dan penggantian lif yang dipohon dalam Rancangan Malaysia ke-12.

"Kelantan diperuntukkan RM1.27 juta bagi kerja pembaikan dan penyelenggaraan kuarters dan RM1 juta bagi kerja pembaikan dan penggantian lif bagi 2023.

"Dengan peruntukan ini kita akan laksanakan projek-projek yang di beberapa tempat yang disenaraikan, " katanya

Berhubung kehilangan Kapal MV Dai Cat 06 sejak 1 Januari lalu, Shamsul Anuar berkata, sehingga kini Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) masih meneruskan usahanya bagi mengesan kapal berkenaan menggunakan segala teknologi yang ada termasuk sistem aset udara miliknya.

Katanya, pengesanan kali terakhir kapal berkenaan menunjukkan ia berada 30 batu nautika di Kalimantan, Indonesia.

"Berikutan itu pihak APMM turut menjalinkan kerjasama dengan negara jiran namun sehingga kini tiada petunjuk yang jelas keberadaannya.

"Malah APMM turut bekerjasama dengan Interpol (Polis Antarabangsa) serta mengeluarkan notis berkaitan kehilangan kapal berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 6:12 PM