MOHD Faisal (kiri) bertemu rakan baiknya, Mohd Azizi ketika menghantar anak bongsu mendaftar tahun satu di sekolah di Kemasek. FOTO ihsan Mohd Faisal Abu Hassan
MOHD Faisal (kiri) bertemu rakan baiknya, Mohd Azizi ketika menghantar anak bongsu mendaftar tahun satu di sekolah di Kemasek. FOTO ihsan Mohd Faisal Abu Hassan
Noor Hidayah Tanzizi


Kemaman: Pembukaan sesi persekolahan baharu Ahad lalu menjadi saksi pertemuan semula pereka grafik, Mohd Faisal Abu Hassan, 40, dengan rakan sekampus yang terpisah sejak 20 tahun lalu.

Mohd Faisal bertemu rakan baiknya, Mohd Azizi Idris, 41, ketika menghantar anak bongsu, Muhammad Fahri, yang mendaftar di tahun satu di sebuah sekolah di Kemasek.

Lebih mengujakan, Mohd Azizi juga guru di sekolah berkenaan sejak empat tahun lalu yang mana jarak antara sekolah dengan rumah Mohd Faisal hanya kira-kira 400 meter sahaja namun mereka tidak pernah bertemu.

Pertemuan semula itu juga mendapat perhatian warganet apabila Mohd Faisal berkongsi video itu di akaun TikToknya dan meraih 1.4 juta tontonan.

Berkongsi kisah itu, Mohd Faisal berkata, dia tidak pernah berjumpa Mohd Azizi kerana sebelum ini, anak sulungnya bersekolah di sekolah lain.

Menurutnya, anak bongsunya yang juga menghidap autisme dihantar ke sekolah itu yang mempunyai Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

"Sepatutnya ibu bapa tidak boleh menunggu di kawasan sekolah selepas semua urusan selesai tetapi saya bimbangkan keadaan anak.

"Anak kurang mahir menguruskan diri dan dia juga mempunyai spektrum tidak fokus dan sukar berkomunikasi.

"Ketika di perhimpunan, saya melihat seorang guru lelaki saling tak tumpah seperti rakan lama saya Mohd Azizi dan wajahnya serta gaya rambut juga masih sama seperti dulu," katanya dihubungi semalam.

Bagaimanapun katanya, rakannya itu tidak dapat mengecamnya sebelum dia memberitahu nama panggilannya ketika di kampus dahulu.

"Penampilan saya berubah dan badan juga lebih berisi berbanding dulu. Mohd Azizi tidak dapat cam saya dan apabila beritahu saya adalah 'Ajai', barulah dia ingat termasuk tempat lepak kami," katanya.

Menurutnya, mereka rapat ketika menuntut di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) pada 2002 biarpun tidak mengambil jurusan sama kerana ketika itu, tidak ramai pelajar Semenanjung di kampus itu.

"Kami selalu berkumpul di bilik, malah kami beraya bersama selama dua tahun kerana tidak pulang ke kampung kerana tidak mampu membeli tiket kapal terbang. Memang banyak memori bersama.

"Kami terputus hubungan selepas saya berhenti belajar dan pulang ke Semenanjung. Ketika zaman itu, tiada media sosial atau aplikasi WhatsApp membuatkan hubungan kami 'hilang' begitu saja.

"Saya ada juga terjumpa rakan lain di tempat kerja dan di Facebook tetapi tidak pernah bertemu Mohd Azizi. Tak sangka jumpa di sekolah anak selepas 20 tahun, dan rupanya tinggal dalam daerah sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2023 @ 5:34 PM