Foto hiasan
Foto hiasan
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Sebanyak 55 kawasan di wilayah Klang dan Shah Alam dijangka mengalami gangguan bekalan air bermula 10 malam ini susulan pelaksanaan kerja-kerja pembaikan paip pecah di Taman Mutiara Bukit Raja 2, Klang.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan kerja pembaikan berkenaan dijangka akan siap sepenuhnya pada 6 pagi esok.

"Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat apabila sistem bekalan air distabilkan selepas kerja-kerja pembaikan selesai.

"Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.

"Justeru, Air Selangor akan menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian," katanya.

Air Selangor turut menasihatkan pelanggan yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

Menurutnya, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

"Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2023 @ 10:05 PM