GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerja-kerja pengalihan paip sementara di Damansara Utama yang bermula sejak 12.30 tengah malam kelmarin mencapai tahap 67 peratus siap setakat pukul 8 malam tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata, kerja-kerja membaiki paip yang terputus disebabkan tanah runtuh di kawasan itu berjalan lancar mengikut jadual.

"Air Selangor sedang berusaha untuk memastikan kerja-kerja pembaikan ini dapat disegerakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerja-Kerja pembaikan paip terputus itu mengakibatkan gangguan bekalan air membabitkan 43 lokasi di Petaling dan 20 lokasi di Kuala Lumpur

Beliau menasihatkan pengguna untuk mendapatkan bantuan bekalan air alternatif melalui lori-lori tangki yang sedang digerakkan ke kawasan-kawasan terlibat atau menerusi tangki statik yang diletakkan di dua pusat khidmat setempat yang disediakan dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Menurut beliau, Air Selangor akan memaklumkan perkembangan kerja-kerja pembaikan paip pecah itu dari semasa ke semasa melalui semua saluran komunikasi rasmi syarikat itu, termasuk laman seawang www.airselangor.com, aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter, atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 12:05 AM