FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerja-kerja penyenggaraan secara berjadual untuk beberapa aset utama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), akan dilaksanakan pada tahun ini bagi memastikan pengguna mendapat perkhidmatan bekalan air yang berterusan.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor Elina Baseri dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kerja-kerja penyenggaraan itu mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Beliau berkata, antara pelaksanaan akan diambil adalah kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu berdekatan kilang Carlsberg di Persiaran Selangor Seksyen 15, Shah Alam, yang bakal menyebabkan gangguan bekalan air berjadual selama 48 jam.

Elina berkata, kerja-kerja itu akan dijalankan pada 30 Mac, dari 9 pagi hingga 9 malam dan bakal menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di lima kawasan di Petaling, 14 kawasan di Klang serta 11 kawasan di Shah Alam, manakala bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 9 malam, 1 April.

Selain itu, beliau berkata kerja-kerja penggantian injap di jajaran paip air mentah dari Empangan Klang Gates, akan menyebabkan henti tugas sementara Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Nanas dan Wangsa Maju, yang bakal mengakibatkan gangguan bekalan air berjadual selama 68 jam.

Elina berkata kerja tersebut akan dilaksanakan pada 6 April, dari 9 pagi hingga 9 malam dan bakal menyebabkan 12 kawasan di Gombak dan 46 kawasan di Kuala Lumpur, akan mengalami gangguan bekalan air berjadual, sebelum dijangka pulih sepenuhnya pada 5 pagi, 9 April.

"Tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza, bergantung kepada kuantiti bekalan air, jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Air Selangor juga dalam perancangan melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan aset utama di LRA Cheras Batu 11 pada 15 Jun, LRA Sungai Langat (6 Julai) dan LRA Sungai Selangor Fasa 1 (5 Oktober).

Beliau menjelaskan pelaksanaan kerja-kerja tersebut mengambil kira pelbagai faktor sebelum dilakukan, antaranya mengelak tarikh semasa peperiksaan utama sekolah kerajaan dan tarikh ketika berlangsungnya sesuatu acara penting peringkat antarabangsa, nasional atau negeri.

"Air Selangor ingin menjelaskan bahawa pelaksanaan kerja-kerja berjadual ini dilaksanakan bagi membolehkan aset-aset utama dan sistem pengagihan bekalan air berada pada tahap yang baik.

"Penambahbaikan infrastruktur paip ini juga adalah sebahagian daripada usaha Air Selangor, dalam meningkatkan mutu perkhidmatan terbaik demi keselesaan pengguna di masa hadapan," menurut kenyataan itu.

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh layari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com atau rujuk kesemua saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi mereka, laman Facebook, Instagram, Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 5:04 PM