GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 47 kawasan di wilayah Petaling mengalami gangguan bekalan air berjadual selama 24 jam bermula hari ini, menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) hari ini.

Menurut Air Selangor, gangguan berkenaan susulan kerja-kerja penambahbaikan sistem bekalan air di Kolam Air Bukit Dengkil yang telah dimulakan pada 9 pagi hari ini dan dijangka pulih sepenuhnya pada 9 pagi esok.

"Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air," menurut Air Selangor dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Air Selangor, pihaknya akan menggerakkan lori tangki air ke kawasan terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Bagi pelanggan komersial pula, pembelian air menggunakan lori tangki air masing-masing dibuka di satu stesen pengisian air setempat dan pembayaran boleh dibuat di Jalan TPP 5/17, Taman Perindustrian Puchong.

"Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

"Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 12:28 PM