MOTOSIKAL ditunggang lelaki dikatakan merempuh sebuah trak tunda di lorong kecemasan. FOTO Ihsan Polis.
MOTOSIKAL ditunggang lelaki dikatakan merempuh sebuah trak tunda di lorong kecemasan. FOTO Ihsan Polis.
Ahmad Hasbi


Seremban: Lelaki maut selepas motosikal ditunggang dikatakan merempuh sebuah trak tunda yang sedang menunda sebuah lori rosak di lorong kecemasan di Kilometer (Km) 265.9 Lebuhraya Utara- Selatan (Plus), berhampiran susur keluar ke Bandar Ainsdale, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa berusia 33 tahun maut di lokasi kejadian kerana parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 dipercayai hilang kawalan lalu merempuh kenderaan berkenaan.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah trak tunda jenis Isuzu dikendalikan seorang lelaki berusia 42 tahun dalam proses menunda sebuah lori rosak di dalam lorong kecemasan di lokasi kejadian.

"Kemudian datang sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki dipercayai dalam perjalanan dari arah Melaka menuju ke Bandar Baru Bangi, Selangor, seorang diri dari arah belakang.

"Mangsa hilang kawalan lalu terbabas masuk ke dalam lorong kecemasan dan melanggar bahagian bucu belakang kanan trak berkenaan," katanya, hari ini.

Nanda berkata, akibat kemalangan, mangsa parah di bahagian kaki kanan, muka dan kepala dan disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 12:38 AM