GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini ditegur supaya menggunakan budi bicara dan bersikap ihsan dalam melaksanakan penguatkuasaan membabitkan pengusaha kecil dan sederhana (PKS).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata pihaknya kerap mendapat aduan tindakan penguatkuasaan tanpa budi bicara diambil terhadap golongan berkenaan.

Katanya, tindakan tegas sebegitu tidak salah, namun perlu dilaksana dengan ihsan dan penuh tanggungjawab.

"Saya menerima aduan daripada peniaga kecil di tepi-tepi jalan, ada makcik yang sudah berniaga di kawasan itu selama 10 tahun tanpa mempunyai permit.

"Namun satu hari penguat kuasa PBT hadir dan terus mengangkut barang perniagaan mereka, saya rasa tindakan lebih sesuai adalah memberi nasihat terlebih dahulu sebelum tindakan tegas lain diambil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soalan lisan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Terdahulu, Datuk Pandak Ahmad (BN-Kota Iskandar) mahu tahu tindakan agensi penguatkuasaan yang tidak bertimbang rasa terhadap peniaga tidak berlesen khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar.

Mengulas lanjut, Mohd Jafni berkata, golongan peniaga kecil bukanlah golongan berpendapatan tinggi sebaliknya mereka mahu pendapatan bagi menyara diri dan keluarga masing-masing.

"Ramai juga daripada mereka memulakan perniagaan secara kecil-kecilan selepas kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19, jika mereka tidak berniaga adakah kerajaan mampu menyediakan RM1,500 sebulan sebagai pendapatan minimum golongan berkenaan," tegasnya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) telah melaksana dan menyelaras beberapa penempatan penjaja dengan mengambil kira faktor kesesuaian dan keselamatan mengikut Undang-undang Kecil Penjaja MBIP 2020.

"Antara lokasi itu termasuklah di Taman Seri Orkid, Taman Universiti, Taman Perling, Taman Teknologi dan Taman Nusantara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 3:55 PM