IPOH 22 APRIL 2021. Peniaga nasi lemak, Noor Hayati Ramli, 50, iaitu seorang daripada 15 penjaja di Jalan Perajurit dekat Taman Ipoh Timur, di sini, yang diarahkan mengosongkan tapak niaga mereka dalam tempoh dua minggu sejak Selasa lalu. STR/ MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
IPOH 22 APRIL 2021. Peniaga nasi lemak, Noor Hayati Ramli, 50, iaitu seorang daripada 15 penjaja di Jalan Perajurit dekat Taman Ipoh Timur, di sini, yang diarahkan mengosongkan tapak niaga mereka dalam tempoh dua minggu sejak Selasa lalu. STR/ MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Kira-kira 15 penjaja kecil di Jalan Perajurit, Taman Ipoh Timur, di sini, resah apabila diarah mengosongkan tapak niaga dalam tempoh terdekat sehingga menimbulkan pelbagai persoalan.

Arahan berkenaan dikeluarkan sebuah syarikat swasta yang dilantik sebagai ejen pengurusan penyewaan tanah oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Ibu tunggal enam anak Noor Hayati Ramli, 50, berkata dia yang berniaga nasi lemak di kawasan itu sejak 24 tahun lalu sangat terkejut sebaik menerima notis pengosongan terbabit pada Selasa lalu.

Menurutnya, mereka yang berniaga di kawasan itu juga tidak dikenakan apa-apa bayaran sebelum ini dan bimbang apabila diarahkan berpindah ke tempat lain.

"Kalau kena bayar RM10 sehari saya masih boleh terima, tetapi kalau sampai RM1,500 untuk tapak berkeluasan 20 x 20 kaki persegi, lebih baik sewa kedai.

"Hendak berpindah ke tapak lain pun susah dengan keadaan pandemik Covid-19 sekarang, tambahan pula saya sudah ada pelanggan tetap yang sudah lama mengenali dan membeli di gerai saya," katanya.

Noor Hayati berkata demikian ketika ditemui selepas hadir pada sidang media berhubung isu berkenaan oleh Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Canning, Jenny Choy Tsi Jen.

Dalam pada itu, Wong berkata, pihaknya menyokong proses pemutihan penjaja tidak berlesen, namun berharap Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menggunakan budi bicara dalam proses pemberian lesen kepada peniaga terbabit.

Menurutnya, pelantikan syarikat swasta itu juga mencetuskan tanda-tanya dalam kalangan penjaja terbabit khususnya kenaikan kadar sewaan selain tiada sebarang perbincangan dibuat.

Sementara itu, MBI melalui kenyataan media berkata, tanah seluas 1,574.3 meter persegi terbabit diluluskan secara Lesen Pendudukan Sementara (TOL) dan syarikat berkenaan dilantik sebagai ejen pengurusan secara sewaan.

Menurutnya, pada masa sama syarikat itu dikehendaki memastikan semua penjaja sedia ada dikekalkan untuk berniaga di situ sekali gus diiktiraf sebagai peniaga yang sah serta boleh memohon lesen perniagaan.

"Bagaimanapun, notis pengosongan yang dikeluarkan syarikat itu tidak sah kerana sebarang notis pengosongan hanya boleh dikeluarkan oleh MBI selaku pemilik tanah dan PBT.

"Namun, kadar sewa akan ditentukan secara persetujuan bersama antara kedua-dua belah pihak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 5:38 PM