GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kes cubaan bunuh diri akan dibawa ke Kabinet dalam tempoh terdekat supaya tidak dihukum sebagai perbuatan jenayah.

Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang berkata, ketika ini cubaan bunuh diri termasuk dalam Kanun Keseksaan iaitu satu perbuatan jenayah.

"Bagaimanapun, baru-baru ini ada persefahaman daripada semua menteri untuk tidak diskriminasi mangsa cubaan bunuh diri.

"Pindaan akta ini masih dalam peringkat 'understanding', saya difahamkan akan dibawa kepada Kabinet untuk tidak melakukan diskriminasi kepada cubaan bunuh diri.

"Malah, kita tahu terdapat peningkatan dua peratus kes bunuh diri tahun ini berbanding tahun lalu," katanya ketika sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Teo Nie Ching (PH-Kulai) mengenai pendirian Kementerian Kesihatan (KKM) supaya cubaan bunuh diri yang kini didakwa mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan adalah sebenarnya satu kesihatan mental memerlukan rawatan dan bantuan KKM, bukan hukuman daripada mahkamah.

Selain itu, Aaron turut mendedahkan peningkatan yang ketara jumlah kumulatif panggilan menerusi Talian Bantuan Sokongan Psikososial yang diterima bermula pandemik.

"Sebanyak 82.2 peratus adalah berkaitan isu yang memerlukan sokongan emosi dan kaunseling.

"Sepanjang tempoh Mac hingga September tahun ini, sebanyak 956 kes (0.4 peratus) yang disyaki mengalami gangguan atau penyakit mental dirujuk ke pakar perubatan keluarga atau psikiatri untuk intervensi lanjut," katanya.

Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) mengenai keberkesanan keberkesanan Talian Bantuan Sokongan Psikososial yang diwujudkan sejak 25 Mac tahun lalu untuk membantu rakyat yang mengalami gangguan kesihatan mental sepanjang pandemik Covid-19 ini melanda.

Aaron berkata, KKM mewujudkan Talian Bantuan Sokongan Psikososial pada 25 Mac lalu dengan kerjasama MERCY Malaysia.

"Talian ini tersedia untuk semua lapisan masyarakat di Malaysia bagi memberi sokongan emosi kepada yang memerlukan, selain talian ini, terdapat juga talian bantuan dari agensi lain iaitu Talian Kasih oleh Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Talian KSK-Care oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Sebanyak 210,930 panggilan diterima sejak talian ini ditubuhkan, iaitu 44,061 panggilan pada 2020 manakala 166,869 panggilan bermula Januari hingga September tahun ini," katanya.

Katanya, perkhidmatan Talian Bantuan Sokongan Psikososial turut membantu dalam mengurangkan masalah kesihatan mental seperti kemurungan, kegelisahan dan tekanan melalui sesi tele-kaunseling.

"Disebabkan peningkatan kes kesihatan mental, kita berhasrat mewujudkan seorang kaunselor di setiap daerah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 2:56 PM