GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

DEPRESI atau kemurungan akan menjadi penyakit kesihatan mental utama dialami rakyat Malaysia menjelang 2020, kata Penaung Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) Tan Sri Lee Lam Thye.

Ia susulan semakin ramai orang dijangka mengalami peningkatan stres akibat tekanan kerja dan keluarga.

Beliau berkata, menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada tahun lepas, 29 peratus rakyat Malaysia mengalami depresi dan gangguan kecelaruan berbanding 12 peratus pada 2011.

"Kebanyakan orang mendapati sukar untuk menguruskan masalah yang mereka hadapi di tempat kerja dan tidak mampu mengendalikan stres, dan keadaan lebih sukar apabila individu itu berdepan masalah daripada anggota keluarga dan tidak mendapat sokongan emosi.

"Seseorang lebih berpotensi mengalami depresi jika mereka hanya berdiam diri dan memendam emosi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata, penyelidikan oleh pakar berhubung kadar depresi dalam kalangan rakyat Malaysia menunjukkan berlaku peningkatan sebanyak 50 peratus pesakit depresi dari 2011 sehingga 2015.

Oleh itu, rakyat perlu menangani penyakit ini dan membangunkan strategi pencegahan dan program efektif dalam mengendalikan kesejahteraan mental, dan beberapa langkah untuk mencegah depresi dan kecelaruan adalah dengan bersenam secara konsisten, tidur sekurang-kurangnya lapan jam sehari dan mengelakkan platform media sosial seperti WhatsApp sekurang-kurangnya 45 minit sebelum masuk tidur, katanya.

Bagaimanapun, menurut Jabatan Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya, depresi dan kecelaruan boleh dirawat jika dikesan awal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Ogos 2018 @ 11:51 AM