FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) bersiap sedia menambah kemudahan rawatan pesakit Covid-19 susulan peningkatan penularan pandemik itu di negeri ini.

Pengarah Kesihatan Johor Datuk Dr Aman Rabu berkata, peningkatan kes Covid-19 berlaku berikutan pencarian kes secara aktif (ACD) dan aktiviti survelans yang dipertingkatkan jabatan berkenaan.

"Kita akan membuka beberapa wad tambahan di Hospital Permaidi sini, termasuk melengkapkan kemudahan rawatan terutama katil pesakit dan keperluan lain di beberapa bahagian hospital termasuk dewan.

"Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) juga bersiap siaga menerima pertambahan pesakit Covid-19 negeri ini.

"Insya Allah, JKNJ sudah bersedia membuka lebih banyak kemudahan baharu jika jumlah kes jangkitan terus merekodkan pertambahan," katanya dihubungi hari ini.

Semalam, JKNJ melaporkan terdapat 48 kes baharu yang dilaporkan di Johor membabitkan 24 kes daripada kluster sedia ada, 19 kes daripada saringan kontak rapat kes Covid-19 dan lima kes daripada lain-lain saringan.

Sehingga semalam, kluster aktif di Johor kekal 19. Antaranya Kluster Desa Idaman, Langkasuka, Tenun Merah dan Jalan Dalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 2:36 PM