FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Johor mencatatkan peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sebanyak 45.7 peratus pada minggu epidemiologi ke-27 tahun ini berbanding minggu sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, data diambil sehingga 8 Julai menunjukkan kes baharu pada minggu lalu adalah sebanyak 450 kes, berbanding minggu sebelumnya hanya 311 kes.

Katanya, setakat ini, kes HFMD paling tinggi dilaporkan di daerah Johor Bahru diikuti Tangkak dan Kota Tinggi.

"Secara keseluruhan, kumulatif kes HFMD di negeri ini menunjukkan Johor Bahru mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu sebanyak 1,237 kes atau 37 peratus.

"Tangkak dengan 365 kes (10.9 peratus), Kota Tinggi 339 kes (10.1 peratus), Kluang 329 kes (9.8 peratus), Batu Pahat 317 kes (9.5.peratus), Kulai 202 kes dan Segamat 200 kes (6 peratus) Muar 178 kes (5.3 peratus), Pontian 159 kes (4.8 peratus) dan Mersing 21 kes (0.6 peratus)," katanya.

Menurut Tian Soon, kebanyakan kes HFMD di negeri ini berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia hingga enam tahun yang mana mencatatkan kes sebanyak 2,856 kes atau 85.3 peratus, diikuti kumpulan usia tujuh hingga 12 tahun dengan 421 kes (12.6 peratus) dan selebihnya berusia 13 tahun ke atas.

Beliau berkata, sebanyak 17 wabak aktif HFMD dilaporkan di negeri ini yang mana lokasi penularan berlaku membabitkan tadika, taska, pusat jagaan harian, prasekolah, rumah persendirian serta sekolah rendah.

"Penyakit HFMD disebabkan Enterovirus dengan majoriti kes disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV71).

"Virus ini merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit. Kebiasaan jangkitan adalah ringan dengan gejala demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah.

"Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh ke sepuluh hari.

"Bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis," katanya.

Tian Soon berkata, memandangkan kebanyakan penularan berlaku di institusi penjagaan kanak-kanak, kerajaan

negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) ingin menegaskan supaya semua pengusaha institusi mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko jangkitan dan mengamalkan langkah mengawal serta mencegah jangkitan HFMD.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 2:01 PM