Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon beramah mesra dengan peniaga ketika mengadakan Program Walkabout dan Lawatan ke Premis di Bazar Ramadan Taman Universiti, Skudai pada lewat petang semalam. FOTO Mary Victoria Dass
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon beramah mesra dengan peniaga ketika mengadakan Program Walkabout dan Lawatan ke Premis di Bazar Ramadan Taman Universiti, Skudai pada lewat petang semalam. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menerima tiga aduan berkaitan kes membabitkan keracunan makanan dan makanan basi membabitkan peniaga bazar Ramadan di negeri ini, sejak seminggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, kejadian berkenaan membabitkan satu kes di Mersing dan dua kes di daerah ini.

Beliau berkata, aduan yang diterima daripada pengunjung itu menerusi imbasan kod QR yang diperkenalkan JKNJ di bazar Ramadan.

Menurutnya, kaedah berkenaan sudah diperkenalkan tahun lalu dan diteruskan pada tahun ini dan ia menerima sambutan pengunjung.

"Aduan disiasat dan akan diambil tindakan sewajarnya jika benar berlaku pelanggaran ke atas mana-mana Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 iaitu kompaun atau tutup tidak lebih 14 hari untuk tujuan pembersihan," katanya.

Beliau berkata demikian di sidang akhbar selepas Program Walkabout dan Lawatan ke Premis di Bazar Ramadan Taman Universiti, Skudai, dekat sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad.

Tian Soon berkata, bagi minggu pertama puasa, JKNJ mengeluarkan 49 notis kompaun (32B) kepada peniaga bazar Ramadan atas pelbagai kesalahan tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, termasuk membabitkan aspek kebersihan.

"Tawaran kompaun RM5,500 diberikan kepada peniaga dan berdasarkan operasi pada minggu pertama, 1,399 premis makanan di Bazar diperiksa dan 1,393 atau (99.6 peratus) daripadanya mempunyai tahap kebersihan yang baik melebihi 80 peratus.

"Tiada premis yang diarahkan tutup sehingga kini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 10:09 AM