Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Jumlah individu yang mendapatkan rawatan mental di Johor meningkat mendadak pada Ogos lalu, berbanding kurang 50 orang pada bulan-bulan sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, rekod menunjukkan 678 pesakit hadir ke klinik kesihatan seluruh negeri untuk rawatan itu, berbanding 32 dan 46 orang pada Jun dan Julai lalu,

Katanya, peningkatan didorong langkah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mempromosi soal selidik Minda Sihat (QR-DASS) dalam talian sejak Ogos lalu, yang memberi akses kepada orang awam membuat saringan kesihatan mental mereka sendiri.

"Sebaik sahaja perintah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dimulakan, JKNJ mengambil inisiatif untuk mengukur status kesihatan mental atau minda sihat masyarakat Johor dengan menyediakan QR-DASS Online JKNJ.

"Ia adalah satu bentuk saringan kesihatan mental secara dalam talian menggunakan Borang Soal Selidik DASS (Depression, Anxiety & Stress Score) di mana setiap individu yang berumur melebihi 16 tahun boleh membuatnya sendiri secara sukarela dan boleh mendapat keputusan serta merta.

"Ujian Saringan Minda Sihat (DASS) mengandungi 21 soalan iaitu saringan untuk mengenal pasti sama ada individu itu mempunyai tanda-tanda depresi (stress), kebimbangan (anxiety) atau tekanan (stress).

"Bagi individu yang mempunyai skor yang tinggi iaitu teruk dan sangat teruk, mereka diberikan pautan untuk membuat temujanji dalam talian di mana-mana klinik kesihatan di negeri ini bagi membuat penilaian lanjut kesihatan mental mereka," katanya.

Beliau menjawab soalan Sheikh Omar Bagharib Ali (DAP-Paloh) yang mahu tahu status kesihatan mental rakyat Johor susulan wabak Covid-19 dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Vidyananthan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang berkata, QR-DASS merekodkan sebanyak 287,204 saringan pada Ogos dan 7,311 saringan September lalu.

Sementara itu, katanya, JKNJ mengaktifkan pasukan sokongan mental sejak awal tahun ini untuk menangani isu kesihatan mental dalam kalangan kakitangan kesihatan terutama mereka yang terbabit secara langsung dalam mengurus kes positif dan kontak Covid-19

"Kemudian, ia diperluaskan kepada pesakit yang positif dan akhirnya kepada semua penghuni di Stesen Kuarantin sama ada individu berkenaan menelefon bilik gerakan atau tidak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 1:32 PM