BERNAMA

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Ayer Hitam Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyeru Deepak Jaikishan membuat laporan polis jika benar ada individu menyamar dan menggunakan namanya untuk membuat ugutan terhadap diri beliau.

Wee berkata, beliau menerima dua panggilan daripada individu bernama Deepak mewakili J&E Advance Tech Sdn Bhd yang memintanya membuat kenyataan memohon maaf berhubung kenyataannya di Dewan Rakyat semalam, berkaitan isu import bekalan telur.

"Sekiranya Deepak merasakan ada orang yang menyamar atas namanya dan membuat panggilan kepada saya, saya menyeru agar Deepak membuat laporan polis bagi membersihkan namanya,

"Saya sedia bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan mendedahkan segala bukti yang sedia ada. Biarlah PDRM siasat perkara ini dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta syarikat telco," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Wee berkata beliau lantang menyuarakan perkara berkaitan isu pengimportan telur kerana menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 3:53 PM