Gambar fail, Deepak Jaikishan. FOTO NSTP.
Gambar fail, Deepak Jaikishan. FOTO NSTP.
BERNAMA

Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini memberikan perintah injuksi interim kepada ahli perniagaan JR Deepak Jaikishan untuk menghalang Bakti Wira Development Sdn Bhd (Bakti Wira Development) daripada menjual 19 peratus sahamnya dalam Astacanggih Sdn Bhd, sementara menunggu rayuannya selesai.

Injunksi interim itu diberikan kepada Deepak sementara selesai rayuannya bagi kes saman sivil yang dikemukakannya terhadap Bakti Wira Development, Boustead Holdings Berhad, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung perjanjian tanah.

Saman sivil berkaitan perjanjian tanah itu didakwa telah menyebabkan syarikat Deepak mengalami kerugian besar, dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi pada 17 Julai tahun lalu.

Rayuan Deepak berhubung saman itu dijadualkan untuk didengar di Mahkamah Rayuan pada 8 Oktober.

Semasa prosiding yang berlangsung secara dalam dalam talian hari ini, panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Hanipah Farikullah, Datuk Azizah Nawawi dan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim mendengar permohonan Deepak untuk perintah injunksi interim terhadap Boustead Holdings dan anak syarikatnya Bakti Wira Development, sementara menunggu rayuan dalam saman sivil itu.

Hanipah, yang mengetuai panel hakim itu bagaimanapun menolak permohonan Deepak untuk injunksi interim bagi menyekat Bakti Wira Development dan Boustead Holdings daripada berurusan berkaitan 223 ekar tanah di Kapar dan Bukit Raja di Selangor.

Peguam Deepak, Alex De Silva, yang dibantu oleh R Sundaradevan, memohon mahkamah memberikan injunksi interim bagi menyekat Bakti Wira Development daripada menjual 80 peratus saham, yang dimiliki oleh Deepak.

Bagaimanapun, peguam Robert Lazar, yang mewakili kedua-dua syarikat itu, memberitahu mahkamah bahawa Deepak hanya memiliki 19 peratus saham dan 61 peratus lagi oleh nomini.

Dalam usulnya, Deepak mendakwa terdapat unsur konspirasi, tekanan, penipuan dan pengaruh yang tidak wajar dalam melaksanakan perjanjian penjualan saham dan perjanjian penjualan tanah oleh Boustead Holdings dan Bakti Wira Development.

Deepak memfailkan saman itu pada 12 Oktober 2018, terhadap kedua-dua syarikat itu, Najib dan Rosmah, dengan mendakwa bahawa beliau telah mengalami kerugian akibat konspirasi, penipuan dan pengaruh yang tidak wajar oleh defendan dalam perjanjian hartanah yang didakwa menyebabkan syarikatnya mengalami kerugian besar.

Beliau menuntut ganti rugi am sebanyak RM600 juta, ganti rugi teladan RM50 juta dan ganti rugi teruk sebanyak RM26 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 7:55 PM