GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Shah Alam: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang kakitangan sebuah agensi kerajaan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM1,700 daripada pengusaha syarikat pengeskport ikan.

Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 40-an itu, yang bertugas sebagai penolong pegawai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), ditahan kira-kira jam 4 petang tadi semasa hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kuala Selangor.

Katanya, wang rasuah itu dimasukkan ke akaun bank milik penjawat awam itu sebagai balasan untuk membantu mengeluarkan sijil kesihatan ikan arowana bagi tujuan eksport.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Sabak Bernam esok bagi mendapatkan permohonan reman.

ana

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 10:24 PM