Hiasan SPRM
Hiasan SPRM
BERNAMA

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor hari ini menahan seorang pegawai imigresen kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM3,000.

Lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan di pejabat SPRM Selangor kira-kira 2 petang tadi ketika hadir bagi memberikan keterangan.

Menurut sumber SPRM, suspek yang bertugas di Pejabat Imigresen Putrajaya itu disyaki meminta dan menerima rasuah daripada seorang individu bagi meluluskan pelanjutan permit pekerja asingnya yang tamat tempoh.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk permohonan reman.

Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim, ketika dihubungi, mengesahkan penahanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 8:24 PM