GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
BERNAMA

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang ketua bahagian perniagaan sebuah syarikat swasta kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM112,000, hari ini.

Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 49 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Cawangan Klang pada 4 petang hari ini selepas hadir memberikan keterangan.

"Suspek meminta serta menerima rasuah didakwa sebagai elaun dan komisen daripada sebuah syarikat pembekal yang beliau lantik bagi menjalankan kerja percetakan sekitar 2017 hingga 2018," katanya kepada Bernama, hari ini.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi Bernama mengesahkan penahanan berkenaan.

Alias berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009 dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada 9 pagi esok untuk permohonan reman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 11:12 PM