Ridzuan Abdul Rahman


 

Kuala Lumpur: Anggota kumpulan Radja dari Indonesia merakamkan penghormatan dan terima kasih kepada polis Johor atas tindakan yang pantas dalam isu membabitkan mereka.

   Ia berikutan penahanan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mereka dihambur kata-kata kesat serta diugut bunuh oleh penganjur konsert, dalam kejadian malam Sabtu lalu.

   "Secara jujurnya kami respek dengan polis Johor. Terima kasih sangat-sangat. 

   "Kami dari kumpulan Radja gembira dengan tindakan cepat mereka. InsyaAllah Radja sedia untuk berikan kerjasama sekiranya diperlukan untuk bantu siasatan," kata penyanyinya Ian Kaseela. 

   Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata dua lelaki itu ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS), petang semalam.

   "Kira-kira jam 3.30 petang (semalam) sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD JBS menahan suspek di perkarangan IPD JBS.

  "Hasil siasatan mendapati suspek adalah seorang lelaki warga tempatan yang berusia 37 tahun dan seorang lagi lelaki warga asing berusia 48 tahun," katanya dalam kenyataan media. 

   Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

   Sabtu lalu, Radja mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor sebelum berlakunya salah faham antara pihak penganjur konsert dan juga band berkenaan.

   

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 10:36 PM