Persembahan kumpulan Radja dalam konsert mereka di Johor, malam tadi.
Persembahan kumpulan Radja dalam konsert mereka di Johor, malam tadi.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Kunjungan pertama kumpulan Radja mengadakan konsert di Johor Bahru, menjadi pengalaman menakutkan apabila mereka mendakwa dikurung penganjur dan berdepan ancaman bunuh. 

Kejadian berlaku selepas kumpulan terkenal dari Indonesia ini selesai mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru yang dihadiri ribuan peminat malam tadi. 

Penyanyi Radja, Ian Kasela berkata, kejadian pada jam 11.15 malam itu terjadi akibat salah faham dan amat mengejutkan mereka.

"Ini kali pertama kami datang ke Johor dan amat menghargainya. Selepas konsert kami disuruh tunggu kerana ada wakil kedutaan yang mahu bergambar dengan Radja. 

"Kami juga diberitahu ada menteri juga nak bergambar dan amat gembira kerana kami faham ia kerjasama dengan kerajaan. Sama juga di Indonesia, kami harga perkara ini.

"Namun, kami tunggu tiada pun mereka. Peminat yang bergambar dengan kami pun dah selesai dan beransur pulang," katanya dalam satu perbualan telefon menerusi wakil mereka kepada Harian Metro. 

Menurutnya, tiba-tiba mereka didatangi 15 pengawal bersama dua individu lelaki mewakili penganjur yang marah-marah sambil menunding jari kearah mereka.

"Kami tidak tahu apa-apa dan cuba untuk faham. Mulanya kami sangka 'prank' (kejutan) kerana konsert ini sukses. Kami masih gembira ketika itu. 

"Ia kerana tidak ada satu pun insiden waktu konsert atau peminat kecewa dengan persembahan kami. Tapi, kami mula rasa lain apabila suara mereka makin tinggi. 

"Mereka bertindak agresif bertindak menendang meja, mula tolak kami serta lemparkan kata-kata kesat dan ancam bunuh. Kami tak boleh buat apa-apa kerana sedar mereka ramai," katanya. 

Paling menyedihkan kehadiran Radja disertai ahli keluarga dan mereka juga dihambur dengan kata-kata kesat daripada penganjur. 

"Kami tak faham masalahnya apa? Dia cuma kata kami tak hargai mereka yang undang dan jemput kami. Dia kata kami enggan buat sesi bergambar dan berjumpa peminat. 

"Kami hairan kerana yang sebelum itu kami bergambar dengan ramai orang itu siapa? Walaupun kami penat kami tetap ikut kehendak penganjur. 

"Kami pun ikut apa kata mereka walaupun syarat yang kami tetapkan kepada penganjur dilanggar. Kami beri yang terbaik," katanya. 

Radja kini bimbang untuk kembali beraksi di Malaysia yang dijadualkan selepas Ramadan.

"Dia ugut sekali lagi, 'aku' dengar Radja buat show di Johor, Malaysia mati kau!. Kami kecewa dengan pihak penganjur dan ancaman bunuh ini merupakan satu perkara yang serius walaupun kami telah berikan komitmen yang terbaik," katanya lagi.

Radja sudah membuat laporan polis di Balai Polis Larkin dan kini menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk pulang ke Indonesia pada jam 1 tengahari ini. 

  

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 12:09 PM