TANGKAP layar video penemuan al-Quran yang dibuang ke dalam longkang. FOTO video tular
TANGKAP layar video penemuan al-Quran yang dibuang ke dalam longkang. FOTO video tular
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: "Belum ada suspek dalam 'radar' untuk kita tangkap. Proses siasatan masih berterusan," kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim mengulas mengenai perkembangan siasatan kes penemuan 13 naskhah al-Quran dipercayai sengaja dibuang dalam longkang berhampiran tasik lombong di Jinjang, di sini, 19 Februari lalu.

Azmi berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan polis.

"Setakat ini, belum ada suspek tertentu terbabit kerana polis sedang mencari dan mengenal pasti suspek," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Program Polis Kuala Lumpur bersama Komuniti di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan penemuan sebuah beg berisi beberapa naskhah al-Quran di dalam longkang menggemparkan penduduk di sekitar Kepong.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita yang juga ahli Persatuan Nelayan Kebangsaan mengenai penemuan beg berisi kitab suci agama Islam itu dalam longkang.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati sebanyak 13 naskhah al-Quran yang dijumpai di dalam longkang itu sebenarnya sengaja dibuang oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan naskhah al-Quran dengan tujuan mengaibkan agama dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat keharmonian ke atas agama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 3:46 PM