AL-QURAN yang ditemui dalam longkang seperti video tular di media sosial.
AL-QURAN yang ditemui dalam longkang seperti video tular di media sosial.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Subang Jaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggesa semua pihak menunggu hasil siasatan kes penemuan 13 naskhah al-Quran yang dipercayai dibuang ke dalam longkang dan lombong di Jinjang, Kuala Lumpur, 19 Februari lalu.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yusoff berkata, pihaknya mengambil maklum kes itu dan memantau perkembangan terkini siasatan polis.

"Apa yang saya ingin ingatkan kepada orang ramai, memang pihak penguatkuasaan sedang memburu sebarang bentuk al-Quran dan bahan al-Quran yang tiada perakuan supaya tidak berada dalam komuniti.

"Justeru, kita amat menggalakkan individu, syarikat atau pertubuhan yang memiliki al-Quran yang tiada kelulusan atau rosak, usang, lusuh dan tidak boleh dibaca lagi, melupuskannya dengan cara betul," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Penyemakan Dan Penilaian Teks al-Quran atau Lajnah Tasheh al-Quran penyemakan 11 permohonan terdiri daripada enam naskhah teks al-Quran (30 juzuk) serta lima bahan mengandungi teks al-Quran.

Mengulas lanjut, Nik Yusaimy berkata, orang ramai yang ingin melupuskan al-Quran boleh menghubungi cawangan Bahagian Penguatkuasan dan Kawalan KDN di seluruh negara.

"Apabila sudah diserahkan kepada kami, kita akan tertakluk kepada satu proses pelupusan yang disebut pemuliaan al-Quran dan bahan-bahan al-Quran.

"Jangan mengambil mudah atau langkah singkat dengan membuangnya ke tempat yang tidak sepatutnya seperti longkang atau tong sampah dan sebagainya. Al-Quran hendaklah sentiasa dimuliakan," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, satu kertas siasatan dibuka oleh pihak polis berhubung penemuan 13 naskah al-Quran berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim dilapor berkata, pihaknya sudah merakam keterangan 10 individu setakat ini untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2023 @ 10:02 PM